Korban: Syarat-syarat persoalan nazar dan binatang yang hendak dikorbankan

(Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)

Disediakan oleh Jabatan Mufti Kerajaan

SIRI DUA

5. Binatang yang telinganya terpotong walaupun sedikit atau yang tidak bertelinga semula jadi, kerana telah hilang sebahagian anggota yang boleh dimakan dan mengurangkan dagingnya. Tetapi tidak mengapa jika telinganya koyak atau berlubang dengan syarat tidak mengurangkan dagingnya walaupun sedikit. Adapun yang tidak bertanduk atau patah tanduknya adalah sah dijadikan korban.

6. Binatang yang terpotong ekornya walaupun sedikit. Adapun yang dilahirkan tanpa ekor semula jadi adalah sah dibuat korban. Tidak memadai yang terpotong sebahagian lidahnya atau yang terpotong suatu yang nyata daripada pahanya.

7. Binatang yang gugur semua giginya sehingga menghalangnya makan rumput. Adapun yang tanggal sebahagian giginya dan tidak menghalangnya makan rumput dan tidak mengurangkan dagingnya (tidak kurus) ia boleh dibuat korban.

8. Binatang yang berpenyakit gila atau yang kena penyakit kurap sekalipun sedikit.

9. Binatang yang bunting kerana bunting itu mengurangkan dagingnya. Bagi binatang yang baru beranak boleh dibuat korban. Manakala binatang yang tidak mempunyai zakar atau yang dikebiri adalah sah dijadikan korban.

Apabila seseorang bernazar untuk berkorban, sama ada dengan lafaz nazar secara hakikat atau secara hukum, maka wajib ke atasnya untuk melakukan korban apabila tiba waktunya, iaitu Hari Raya Adha yang terdekat setelah dia bernazar. – Agensi
Binatang yang bunting tidak boleh dijadikan binatang korban kerana bunting itu mengurangkan dagingnya. Bagi binatang yang baru beranak boleh dibuat korban. – Agensi

Binatang korban nazar yang mempunyai kecacatan

Pada dasarnya binatang yang mempunyai kecacatan adalah tidak sah sebagai korban seperti yang difahami daripada hadis di atas (dalam siri pertama). Manakala bagi korban nazar pula, disyaratkan hendaklah binatang korban itu selamat daripada ‘aib apabila ditentukan (ta‘yin).

Bagaimanapun penjelasan berikut akan menghuraikan kedudukan hukum korban sekiranya seseorang bernazar dan dia tanpa sengaja atau sebaliknya dengan sengaja telah menentukan binatang yang mempunyai kecacatan untuk dijadikan korban? Bagaimana pula jika binatang korban nazar itu pada asalnya adalah selamat daripada ‘aib, akan tetapi terjadi kecacatan ke atasnya sebelum tiba waktu menyembelih.

(a) Binatang yang sediakala mempunyai kecacatan (‘Aib) ketika dinazarkan

Terdapat beberapa hukum yang berbeza mengenai kedudukan binatang nazar yang mempunyai kecacatan sebagai korban mengikut keadaan tertentu.

1. Jika seseorang bernazar untuk berkorban dengan binatang yang dimilikinya, lalu dia:

Menentukan binatang yang mempunyai kecacatan yang tidak boleh dibuat korban pada asalnya, umpama dia berkata: “Demi Allah, ke atas ku menyembelih binatang ini (yang mempunyai kecacatan yang nyata pada ketika itu) sebagai korban” atau dia berkata pada seekor kambing yang mempunyai ‘aib: “Inilah korbanku”.

Menentukan binatang yang kecil (muda) yang tidak sampai umur yang mencukupi syarat untuk dijadikan korban,

Berkata “Aku jadikannya (binatang yang cacat ini) sebagai korban.”

Dalam keadaan yang telah disebutkan di atas, lazim (wajib) ke atasnya untuk menyembelih binatang yang telah ditentukannya itu kerana menunaikan nazarnya, akan tetapi tidak memadai sebagai korban, sekalipun telah ditentukan untuk disembelih pada waktu korban.

Ini kerana syarat binatang korban hendaklah selamat daripada kecacatan sebagaimana yang dijelaskan terdahulu. Manakala daging binatang korban nazar yang disembelih itu dibahagikan sebagai sedekah. Bagaimanapun dia diberikan ganjaran pahala dengan penyembelihan itu dan perbuatannya itu merupakan qurbah (perbuatan mendekatkan diri kepada Allah.

2. Jika seseorang bernazar untuk berkorban seumpama berkata: “Wajib ke atas ku untuk berkorban”, kemudian ketika dia memiliki atau membeli binatang korban, dia memilih atau menentukan seekor binatang yang mempunyai kecacatan yang tidak boleh dibuat korban pada asalnya, maka dalam perkara ini tidak sah penentuannya (ta’yin) terhadap binatang yang cacat itu. Dan dia boleh mentasharruf daging korban tersebut. Sementara kewajipan korban nazar masih tertanggung ke atasnya.

3. Jika seseorang mewajibkan ke atas dirinya berkorban dengan binatang yang sediakala mempunyai kecacatan, kemudian sebelum disembelih, kecacatan tersebut hilang lalu disembelih, maka tidak memadai binatang tersebut sebagai korban.

(b) Binatang korban mendapat kecacatan setelah dinazarkan

Binatang korban nazar yang telah ditentukan itu menjadi cacat (‘aib yang tidak boleh dibuat korban) dan ia cacat bukan disebabkan kecuaian orang yang bernazar, adakah ia memadai sebagai korban?

Dalam hal ini dilihat kepada beberapa keadaan:

Jika binatang korban nazar yang telah ditentukan itu menjadi cacat sebelum tiba waktu berkorban dan sebelum dia berkuasa untuk menyembelihnya, maka memadai binatang yang cacat itu dijadikan korban apabila disembelihnya pada waktu berkorban dan tidak wajib ke atasnya untuk mengganti binatang tersebut.

Adapun jika disembelihnya sebelum waktu berkorban, maka wajib disedekahkan kesemua daging tersebut dan tidak wajib menggantinya dengan binatang yang sama untuk disembelih pada waktu berkorban. Akan tetapi wajib atasnya bersedekah nilaian harga binatang yang disembelih itu.

Jika binatang korban nazar yang telah ditentukan itu menjadi cacat dan kecacatan itu berlaku setelah dia berkuasa untuk menyembelihnya, maka tidak memadai binatang itu dibuat korban kerana kecuaiannya melambat-lambatkan penyembelihan sehingga binatang korban nazar itu menjadi cacat.

Walau bagaimanapun wajib disembelih binatang yang cacat itu dan disedekahkan dagingnya dan wajib diganti dengan binatang yang baharu.

Demikian juga seseorang yang bernazar untuk berkorban lalu dia menentukan binatang korban nazarnya, jika terjadi cacat ke atas binatang itu, maka batal penentuannya itu (ta‘yin) dan dia boleh mentasharruf daging korban tersebut.

Sementara kewajipan korban nazar masih tertanggung ke atasnya.

Dalam perkara ibadat korban, apabila seseorang bernazar untuk berkorban, sama ada dengan lafaz nazar secara hakikat atau secara hukum, maka wajib ke atasnya untuk melakukan korban apabila tiba waktunya, iaitu Hari Raya Adhha yang terdekat setelah dia bernazar.

Jika dia telah menentukan binatang yang hendak dikorbankan, maka binatang tersebut menjadi korban wajib kerana nazar yang tidak boleh ditukar ganti sekalipun dengan yang lebih baik daripadanya, dan tidak boleh dijual, dijadikan wasiat, dihadiahkan dan selainnya. Manakala daging sembelihan binatang korban nazar wajib disedekahkan kesemuanya kepada fakir miskin.

Binatang yang selamat daripada kecacatan merupakan antara syarat pada binatang korban. Bagaimanapun bagi mereka yang bernazar dengan bintang yang mempunyai kecacatan atau menjadi cacat perlu memberi perhatian kepada beberapa perkara yang telah digariskan oleh syarak agar ibadat korban seseorang itu sah dan memadai.