Korban terbaharu serangan buaya di Sarawak

KUCHING, 24 JULAI – Seorang lelaki dipercayai menjadi korban terbaharu serangan buaya di Sarawak apabila dia dibaham reptilia itu di Sungai Seduku yang merupakan anak sungai Batang Lupar di Sri Aman, kira-kira 233km dari sini, hari ini.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Negeri Sarawak berkata sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Sri Aman diketuai Pegawai Bomba Kanan Freddy John bergegas ke tempat kejadian selepas menerima panggilan mengenai kejadian itu pada pukul 10:19 pagi.

Beliau berkata pasukan mencari dan menyelamat (SAR) dengan bantuan penduduk kampung yang tinggal berhampiran dengan Rumah Panjang Tuntun di Sungai Seduku berkenaan, sehingga kini masih belum menemui Kong Gindi, 47, yang hilang selepas dilarikan buaya dalam kejadian itu. – Bernama