Korbankan kasih sayang

Bekas isteri Fizo Omar, Mawar Abdul Karim menafikan mereka bercerai disebabkan ego atau harta, sebaliknya menyifatkan ia sebagai ruang memperbaiki diri masing-masing.

Mawar yang juga pengusaha tudung terkenal berkata, dia dan Fizo sudah berusaha sedaya upaya menyelamatkan perkahwinan mereka, namun reda apabila takdir tidak menyebelahi.

“Selama enam tahun bersama, kami sudah cuba menyelamatkan perkahwinan ini, namun mungkin sampai di sini sahaja untuk saya dan Fizo. Saya korbankan kasih sayang saya untuk kebahagiaan Fizo sekeluarga. Bukan saya tidak mencuba, tetapi saya reda dan pasrah. Ada hikmah atas apa yang terjadi ini dan ia menjadi bekalan terbaik untuk masa hadapan kami,” katanya.

Mawar berkata, biarpun tiada lagi hubungan, dia dan Fizo tetap bersahabat, malah tidak akan sesekali memutuskan hubungan bekas suaminya dengan anak mereka, Wan Maryam.

“Insya Allah, saya tidak akan memutuskan hubungan Fizo demi anak yang masih kecil dan memerlukan kasih sayang seorang bapa,” katanya.

Sementara itu, Fizo pula menyifatkan, perpisahan mereka bukan pengakhiran, sebaliknya permulaan baharu untuk dia dan Mawar melunaskan tanggungjawab membesarkan Maryam.

“Saya masih sayang dan kasihkan Mawar, malah mengucapkan terima kasih kerana menjadi isteri dan ibu kepada anak saya. Saya banyak terhutang budi padanya dan dia sangat baik. Saya, Mawar dan keluarga juga baik-baik sahaja ketika ini,” katanya.

Pasangan itu sah bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Hulu Langat, di sini, kira-kira jam 10:45 baru-baru ini.

Lafaz cerai itu dibuat, Fizo atau nama sebenarnya Wan Hafizol Wan Omar, 34, selaku defendan terhadap Mawar, 30, sebagai plaintif di hadapan Hakim Syarie Che Abdullah Che Hassan.

Pasangan itu mendirikan rumah tangga pada November 2013 dan dikurniakan seorang cahaya mata perempuan yang kini berusia dua tahun.- Agensi

Mawar Abdul Karim menyatakan setiap perkara yang berlaku ada hikmahnya sendiri dan ia menjadi bekalan terbaik untuk masa hadapan mereka. – Agensi