Korda, Ko berentap di jelajah LPGA

MIAMI, 18 NOV – Persaingan sengit pemain nombor satu dunia, Nelly Korda dan Ko Jin-young mencapai kemuncak apabila kedua-duanya berentap di Kejohanan Jelajah LPGA di Kelab Golf Tiburon, Florida hari ini.

Korda dan Ko telah menguasai golf wanita pada 2021 apabila kedua-duanya sering bergilir bertukar status ranking nombor satu dan berkongsi lapan kemenangan sesama mereka dengan Korda turut meraih pingat emas Olimpik.

Korda berharap dapat menamatkan musim gemilang dengan menjuarai Jelajah LPGA buat kali kelima dan tiba di Naples dengan lebih bersemangat selepas menjuarai Kejohanan Pelican pada Ahad lalu.

Pemain Amerika Syarikat berusia 23 tahun itu sebelum ini memenangi dua kejuaraan berturut-turut dengan muncul juara Kejohanan Wanita PGA pada Jun, seminggu selepas mengungguli Klasik LPGA Meijer di Belmont, Michigan.

Korda bagaimanapun tahu dia perlu berhati-hati dan tidak terlalu menekan dirinya selepas bersaing sengit di Pelican, apabila dia berdepan tiga bogey di lubang kedua terakhir sebelum menang dalam playoff.

“Minggu lalu menyuntik keyakinan saya tetapi saya sedar sukar untuk mengulangi kemenangan berturut-turut kerana ia memerlukan ketahanan mental dan fizikal,” kata Korda.

“Maka perlu memastikan saya berehat dengan baik dan saya 100 peratus bersedia untuk hari ini dan 100 peratus bersedia untuk hari Ahad yang merupakan fokus utama saya pada minggu ini.”

Sementara itu, Ko mengambil bahagian dalam acara minggu ini sebagai juara bertahan.

Pemain berusia 26 tahun dari Seoul itu telah menjadi popular sejak sebulan lalu, memenangi dua kejuaraan pada Oktober selain kemenangan di Portland pada September dan Texas pada Julai. – AFP

Aksi Ko memukul di lubang kelapan semasa berlatih menjelang Kejohanan Jelajah Kumpulan CME di Kelab Golf Tiburon di Naples, Florida pada 17 November 2021. – AFP