MIAMI, 14 NOV – Nelly Korda membuat tujuh birdies dalam enam bawah 64 par kelmarin untuk merebut gelaran juara dalam Kejohanan LPGA Pelican Wanita sekali gus kembali ke ranking nombor satu dunia.
Pemain golf dari Amerika Syarikat itu dilihat berjaya mempertahankan gelaran juara yang dimenanginya pada tahun lalu selepas dia menjulang trofi pada tahun ini yang digambarkan sebagai tahun yang mencabar.
Korda terlepas kebanyakan aksi pada separuh pertama musim ini kerana darah beku di lengannya.
Susulan itu, dia terpaksa berehat selama lima minggu serta terlepas aksi berturut-turut Kejohanan NW Arkansas dan Ascendant LPGA di Texas.
“Sejujurnya, menakjubkan.
“Terlalu banyak perkara buruk berlaku berbanding yang baik-baik pada tahun ini. Dan saya rasa itu sebabnya kemenangan kali ini begitu indah buat saya,” katanya, yang akan naik daripada ranking keempat dunia bagi menggantikan remaja Thailand, Atthaya Thitikul di kedudukan teratas.
Ini merupakan kali ketiga Korda berada di ranking pertama, dengan rekod memegang takhta selama 29 minggu.
Belleair di negeri asalnya, Florida terbukti sebagai tempat untuknya mengubah keadaan.
“Saya mempunyai memori yang indah di padang golf ini. Saya berasa seperti di rumah.
Saya berasa selesa dengan kehadiran ibu bapa saya,” katanya.
Korda menambah dia bersyukur dapat bersaing semula selepas keadaan kesihatannya yang membimbangkan pada awal tahun ini. – AFP