Wednesday, October 9, 2024
24.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Korea, AS sokong sistem antimisil

    SEOUL, 31 Jan – Ketua pertahanan Korea Selatan dan rakan sejawatannya yang baru dari AS hari ini berikrar untuk meneruskan dengan perancangan bagi menempatkan sistem antimisil AS pada tahun ini, kata tentera Seoul, biarpun bantahan dari China.

    Kedua-dua sekutu itu pada tahun lalu mengumumkan perancangan untuk menempatkan sistem Terminal High Altitude Area Defense (THAAD) berikutan beberapa siri ujian atom dan misil oleh Korea Utara yang memiliki senjata nuklear.

    Setiuasaha Pertahanan AS yang baru, James Mattis dan rakan sejawatannya dari Korea Selatan, Han Min-Koo menegaskan semula perancangan itu menerusi perbincangan melalui telefon, kata kementerian pertahanan Seoul, beberapa hari sebelum lawatan Mattis ke Asia.

    Bagaimanapun pentadbiran Presiden Donald Trump dalam pendekatannya di rantau itu, telah membangkitkan kebimbangan di Korea Selatan dan Jepun, kedua-duanya adalah sekutu lama mereka.

    Ketika kempennya, Trump mengancam untuk menarik tentera AS dari dua buah negara itu jika mereka tidak meningkatkan bantuan kewangan mereka bagi pertahanan mereka.

    Hwang Kyo-Ahn. – AFP
    Hwang Kyo-Ahn. – AFP

    Mattis dan Han menyuarakan kebimbangan mendalam terhadap ancaman yang meningkat dari Korea Utara dan bersetuju di atas “keperluan….untuk meneruskan dengan penempatan THAAD seperti yang dirancangkan,” kata kementerian itu dalam kenyataan.

    Kedua-dua menteri juga memberi amaran bahawa Utara mungkin melakukan provokasi bersenjata ketika peralihan kuasa di Selatan dan AS.

    Perbincangan mereka dibuat selepas Trump dan pemangku presiden Korea Selatan, Hwang Kyo-Ahn semalam bersetuju untuk mengukuhkan keupayaan pertahanan bersama mereka, tetapi kenyataan rasmi Rumah Putih tidak membuat sebarang rujukan tertentu tentang THAAD. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda