Korea bergabung untuk Sukan Asia

JAKARTA, 28 Jun – Korea Utara dan Selatan akan menurunkan pasukan gabungan dalam tiga sukan iaitu berkanu, berkayuh dan bola keranjang wanita pada Sukan Asia, kata penganjur hari ini, dalam petanda terbaharu mengurangkan ketegangan.

Kedua-dua buah negara itu juga akan berjalan bersama-sama pada acara pembukaan dan penutup bagi acara sukan yang akan diadakan di Indonesia bermula 18 Ogos sehingga 2 September, tambah mereka.

Jawatankuasa kebangsaan Korea Selatan sebelumnya memberitahu AFP bahawa badan–badan penguasa negara itu bagi bola keranjang, judo, kanu, gimnastik, pingpong, berkayuh dan tenis menyuarakan minat dalam mengendalikan pasukan bergabung.

Seoul dan Pyongyang bulan ini bersetuju untuk membentuk pasukan gabungan bagi sebahagian sukan walaupun ia disahkan hari ini selepas mesyuarat di Jakarta antara Majlis Olimpik Asia (OCA), penganjur Sukan dan wakil dari kedua buah negara Korea.

“Kami tidak akan menambah lebih banyak (sukan),” timbalan pengerusi Sukan, Sjafrie Sjamsoeddin memberitahu wartawan selepas mesyuarat hari ini.

“Kami perlu ketat dengan penjadualan jadi tidak akan ada banyak perubahan.”

Maklumat lanjut mengenai logistik akan dilakukan kemudian, tambahnya.

“Mesyuarat itu adalah mesra dan bersemangat, dan berdasarkan semangat perpaduan dari kedua buah negara,” kata Sjamsoeddin.

Kedua-dua buah negara Korea membentuk pasukan gabungan Olimpik yang pertama iaitu skuad hoki ais wanita bersama bagi Sukan Musim Sejuk di Pyeongchang, Korea Selatan pada Februari lalu. – AFP