Monday, January 13, 2025
33.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Korea ingin satukan semula keluarga terpisah

    SEOUL, 22 Jun – Korea Selatan dan Korea Utara hari ini mengadakan rundingan Pasukan Palang Merah untuk membincangkan penyatuan semula bagi keluarga-keluarga yang terpisah akibat Perang Korea 1950-53, langkah terbaharu dalam hubungan diplomatik yang semakin pulih di semenanjung itu.

    Berjuta-juta orang terpisah ketika konflik yang membawa kepada perpecahan antara kedua-dua negara Korea itu hampir 70 tahun lalu.

    Kebanyakannya telah meninggal dunia tanpa berpeluang berjumpa atau mendengar khabar dari saudara-saudara mereka di bahagian sebelah sempadan yang mana semua perhubungan awam adalah ditegah.

    Program penyatuan semula keluarga yang kali terakhir diadakan dalam tahun 2015 adalah salah satu perjanjian yang dicapai antara pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un dan Presiden Korea Selatan, Moon Jae-in pada sidang kemuncak bersejarah mereka April lalu.

    Hanya kira-kira 57,000 yang telah mendaftar dengan Pasukan Palang Merah Korea Selatan untuk bertemu dengan saudara mereka yang lama terpisah yang masih hidup, kebanyakan mereka berusia lebih daripada 70 tahun.

    Ketua delegasi Korea Selatan, Park Kyung-seo (dua, kiri) berjabat tangan bersama ketua delegasi Pyongyang, Pak Yong Il semasa pertemuan mereka di Korea utara, kelmarin. – AP

    Meskipun penyatuan semula diatur, hanya 100 peserta dari setiap pihak akan dipilih.

    “Mari kita jayakan rundingan ini dengan melaksanakannya dari perspektif kemanusiaan,” kata ketua delegasi Korea Selatan, Park Kyung-seo, ketika dia memulakan rundingan di peranginan Korea Utara, Gunung Kumgang yang mempunyai pemandangan indah.

    Pak Yong Il, ketua delegasi Pyongyang pula berkata, “Hakikat bahawa Korea Utara dan Korea Selatan mengadakan rundingan pertama Pasukan Palang Merah di Gunung Kumgang adalah sangat bermakna.”

    Program penyatuan semula diadakan dengan bersungguh-sungguh selepas sidang kemuncak antara Korea dalam tahun 2000, yang pada awalnya diadakan setiap tahun, tetapi hubungan seberang sempadan yang terjejas telah menjadikan program itu jarang diadakan. Pyongyang mempunyai rekod panjang memanipulasi isu keluarga yang terpisah bagi tujuan politik, dengan menolak cadangan bagi penyatuan keluarga yang kerap dan membatalkan acara berjadual pada saat-saat terakhir. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda