Korea, Jepun berunding lagi

SEJONG, 18 NOV – Ketua perunding Korea Selatan telah berlepas ke Geneva hari ini untuk menghadiri pusingan kedua rundingan dengan Jepun di Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) berhubung pertikaian perdagangan yang berlaku susulan sekatan eksport Tokyo.

Chung Hae Kwan, ketua pengarah hal ehwal multilateral dan perundangan di Kementerian Perdagangan, Industri dan Tenaga, dijadual bertemu rakan sejawatnya dari Jepun Junichiro Kuroda di bandar itu pada Selasa, lapor agensi berita Korea Selatan Yonhap.

Rundingan sehari itu adalah sebahagian daripada proses penyelesaian pertikaian di bawah peraturan WTO.

Bulan lepas, kedua-duanya gagal mencapai kata sepakat dalam perbincangan pertama mereka di Geneva berhubung aduan Seoul kepada badan perdagangan global itu berkaitan sekatan eksport Tokyo.

Perbincangan itu berlaku beberapa hari selepas Jepun meluluskan penghantaran pertama cecair hidrogen fluorida ke Korea Selatan dalam satu percubaan jelas untuk membuktikan bahawa sekatannya tidak melanggar norma-norma perdagangan antarabangsa di bawah WTO.

Pada Julai, Tokyo mengenakan peraturan lebih ketat ke atas eksport tiga bahan ke Seoul yang penting dalam penghasilan semikonduktor dan paparan fleksibel.

Jepun kemudian menyingkirkan Korea Selatan daripada senarai rakan kongsi perdagangan pilihannya.

Korea Selatan mendakwa langkah itu adalah tindakan balas terhadap keputusan mahkamah Agung Korea Selatan tahun lepas yang memerintahkan beberapa syarikat Jepun membayar pampasan kepada mangsa buruh paksa Korea Selatan semasa era penjajahan Jepun di Semenanjung Korea dari 1910 hingga 1945. – Bernama