Korea S, AS capai kesepakatan

SEOUL, Korea Selatan, 10 Feb – Korea Selatan dan Amerika Syarikat (AS) mencapai satu perjanjian hari ini mengenai jumlah yang harus dibayar oleh Seoul untuk kehadiran tentera AS di negaranya, kata pegawai, selepas kegagalan rundingan sebelumnya menimbulkan kebimbangan mengenai gabungan mereka yang berusia berdekad-dekad lamanya.

Pada tahun lalu, Korea Selatan menyediakan kira-kira AS$830 juta, 40 peratus daripada kos penghantaran 28,500 tentera AS, di mana penempatan mereka bertujuan menghalang penindasan daripada Korea Utara. Presiden Donald Trump berkata Korea Selatan harus membayar lebih tinggi.

Sekutu berkenaan telah gagal mencapai persetujuan dalam pelan perkongsian kos ketika 10 sesi rundingan. Hari ini, Kementerian Luar Seoul berkata negara-negara menandatangani satu perjanjian baharu. Satu perjanjian 2014 berusia lima tahun yang merangkumi bayaran Korea Selatan pada tahun lalu telah luput pada akhir tahun 2018.

Sesetengah golongan konservatif di Korea Selatan menyuarakan kebimba-ngan berhubung gabungan lemah dengan AS di tengah kebuntuan dalam rundingan dengan Korea Utara untuk menghapuskan senjata nuklearnya.

Mereka berkata Trump mungkin menggunakan rundingan perkongsian kos tentera yang gagal sebagai alasan untuk mengeluarkan beberapa tentera AS di Korea Selatan, sebagai tawaran dalam rundingan dengan pemimpin Korea Utara Kim Jong Un.

Trump memberitahu rancangan CBS ‘Face the Nation’ pada Ahad lalu bahawa beliau tidak mempunyai rancangan untuk mengeluarkan tentera dari Korea Selatan.

Trump mengumumkan pada minggu lalu beliau akan duduk bersama Kim untuk sidang kemuncak kedua di Hanoi, Vietnam pada akhir Februari. Sidang kemuncak pertama mereka di Singapura pada Jun lalu berakhir dengan komitmen Kim untuk ‘menamatkan program senjata nuklear di semenanjung Korea,’ satu istilah yang digunakan sebelumnya oleh alat propagandanya apabila ia berkata ia hanya akan melucutkan senjatanya selepas AS mengeluarkan tenteranya dari Korea Selatan.

Kementerian Korea Selatan masih belum mendedahkan jumlah sebenar wang yang akan dibayar oleh Seoul pada tahun ini di bawah perjanjian baharu.

Agensi berita Yonhap melaporkan bahawa Korea Selatan akan memperuntukkan kira-kira 1.04 trilion won pada 2019. Yonhap berkata AS sebelum ini menuntut 1.13 trilion won daripada Korea Selatan. – AP

Menteri Luar Korea Selatan, Kang Kyung-wha, (kanan) dan Timothy Betts, yang bertindak sebagai Timbalan Penolong Setiausaha dan Penasihat Kanan untuk Rundingan dan Perjanjian Keselamatan di Jabatan Negara Amerika Syarikat, berjabat tangan sebelum pertemuan mereka di Kementerian Luar Negeri di Seoul, Korea Selatan , kelmarin. – AP