Korea S batal sekatan eksport penutup mulut

SEOUL, 20 OKT – Korea Selatan hari ini menyatakan akan menarik balik larangan eksport kain bukan tenunan minggu ini yang digunakan untuk menghasilkan penutup mulut dan hidung apabila bekalan bahan dan penutup mulut dan hidung domestik stabil, lapor Agensi Berita Yonhap.

Berdasarkan keputusan itu, negara akan membatalkan peraturan yang melarang syarikat daripada mengeksport lebih daripada 15 peratus pengeluaran kain bukan tenunan mereka mulai Jumaat, menurut Kementerian Perdagangan, Industri dan Tenaga.

Awal tahun ini, negara kehabisan kain penapis bukan tenunan meltblown di tengah-tengah permintaan penutup mulut dan hidung yang melambung tinggi pada tahap awal pandemik COVID-19, mendorong negara mengimport bahan tersebut.

Negara ini melaporkan kes COVID-19 pertamanya pada 20 Januari. Setakat ini, Korea Selatan telah melaporkan lebih daripada 25,000 kes virus.

Pada Mac, Korea Selatan melaksanakan dasar skim catuan penutup mulut dan hidung dengan setiap orang hanya dapat membeli sejumlah penutup mulut dan hidung seminggu. Dasar itu kemudiannya dibatalkan pada Jun.

Dalam laporan berasingan, kementerian keselamatan ubat-ubatan negara menyatakan pengeluaran penutup mulut dan hidung Korea Selatan mencapai 300 juta unit dalam tempoh 28 September hingga 11 Oktober.

Pengeluaran penutup mulut dan hidung mingguan Korea Selatan adalah sekitar 100 juta tahun ini hingga akhir Mei. – Bernama