Korea S catat pendapatan pelancongan terendah dalam tempoh 17 tahun

SEOUL, 7 SEPT – Korea Selatan mencatatkan pendapatan pelancongan terendah dalam tempoh 17 tahun untuk suku kedua tahun ini, berikutan pandemik COVID-19, berdasarkan data dikeluarkan kerajaan hari ini.

Bagi tempoh April hingga Jun, negara mencatat pendapatan pelancongan AS$1.19 bilion, merosot 78.6 peratus daripada lebih AS$5.57 bilion pada tempoh sama tahun lepas, agensi berita Yonhap memetik data Pertubuhan Pelancongan Korea (KTO).

Dibandingkan dengan tempoh tiga bulan sebelumnya, jumlah itu menurun 65.5 peratus daripada AS$3.46 bilion.

Ia jumlah suku tahunan terendah sejak 2003, ketika itu pendapatan pelancongan Korea Selatan mencatat AS$1.11 bilion.

Penurunan mendadak terjadi ketika pandemik COVID-19 yang mengganggu industri pelancongan global, kerana kebanyakan negara menutup sempadan dan mewajibkan kuarantin 14 hari ke atas ketibaan dari luar negara.

Jumlah pelawat asing pada suku kedua 2020 mencapai 970,000 orang, berkurangan daripada 4.6 juta orang pada tempoh yang sama 2019.

Sementara itu, perbelanjaan pelancong Korea Selatan sebanyak AS$1.7 bilion pada suku kedua, turun 76.3 peratus dari tahun sebelumnya.

Kesannya, defisit akaun pelancongan negara itu menurun kepada AS$510 juta untuk tempoh April hingga Jun, kemerosotan mendadak daripada AS$1.64 bilion yang dikira setahun lalu. – Bernama