Korea S ikrar hantar bantuan ke Utara secepat mungkin

SEOUL, Korea Selatan, 20 Mei – Korea Selatan berikrar hari ini untuk segera menyalurkan bantuan makanan dan perubatan bernilai AS$8 juta kepada kanak-kanak Korea Utara menerusi agensi-agensi PBB sementara ia juga mempertimbangkan untuk menghantar bantuan makanan meluas ke negara itu, yang dikatakan ia sedang mengalami kemarau terburuk dalam masa berdekad-dekad.

Lee Sang-min, jurucakap bagi Kementerian Penyatuan Seoul, berkata kerajaan akan membincangkan rancangannya bersama Program Makanan Sedunia dan Dana Kanak-kanak PBB, tempat bantuan itu akan disalurkan, oleh itu ia akan sampai kepada kanak-kanak Korea Utara dan wanita mengandung dengan cepat.

Korea Selatan juga cuba untuk membina sokongan awam dan politik bagi menyalurkan bantuan makanan kepada Korea Utara, sama ada secara langsung atau melalui WFP.

Media kerajaan Korea Utara minggu lalu berkata negara itu mengalami kemarau paling teruk dalam masa lebih satu abad di tengah-tengah laporan kekura-ngan makanan.

“Kerajaan akan mula-mula berbincang bersama organisasi antarabangsa berhubung peruntukan bantuan dan mengambil langkah-langkah oleh itu sokongan tiba ke Korea Utara dengan segera,” kata Lee.

Presiden Korea Selatan, Moon Jae-in menyatakan harapan yang bantuan itu akan membantu memulihkan semula diplomasi dan penglibatan bersama Korea Utara, yang merosot selepas sidang kemuncak nuklear gagal antara pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un dan Presiden Donald Trump pada Februari disebabkan berbeza langkah pelucutan senjata dan bantuan sekatan. – AP