SEOUL, 8 DIS – Korea Selatan akan melonggarkan peraturan mengenai import kenderaan elektrik (EV), bahan kimia dan barangan lain dalam usaha menarik lebih banyak pelaburan asing ke negara itu, menurut menurut Kementerian Perdagangan, Industri dan Tenaga pada hari ini.
Yonhap melaporkan bahawa peraturan itu adalah sebahagian daripada 40 langkah utama yang dilaksana kerajaan untuk merombak peraturan import dan pelaburan selepas menerima sejumlah 454 permintaan daripada syarikat asing.
Permintaan tertinggi iaitu sebanyak 27 peratus membabitkan peraturan pemeriksaann dan pensijilan, diikuti peraturan alam sekitar dan buruh.
Justeru itu, kerajaan memutuskan untuk menyemak semula proses dan syarat ujian yang ditetapkan ke atas import EV dan kenderaan hibrid plug-in bagi memenuhi piawaian antarabangsa.
Kerajaan juga akan melonggarkan peraturan untuk membawa masuk bahan kimia terhad dan pengurusan kemudahan firma asing di dalam zon ekonomi bebas.
Dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun ini, potensi pelaburan langsung asing Korea Selatan dijangka mencecah paras tertinggi sebanyak AS$21.52 bilion hasil pertumbuhan kukuh pelaburan dalam sektor maju seperti cip dan bateri, menurut data kerajaan. – Bernama