Korea S longgarkan sekatan virus di Seoul

SEOUL, 13 SEPT – Korea Selatan akan melonggarkan sekatan sementara di kawasan Seoul selepas berlaku penurunan kes COVID-19, kata pihak berkuasa hari ini.

Negara itu telah berjaya menangani peningkatan kes COVID-19 pada awal penularannya dengan menjalankan kaedah pengesanan dan saringan secara meluas.

Bagaimanapun, Korea Selatan kembali berdepan cabaran sejak beberapa minggu kebelakangan ini apabila berlaku peningkatan kes, sekali gus mencetuskan kebimbangan sekiranya berlaku gelombang kedua pandemik itu.

Kes baharu COVID-19 dilaporkan banyak berlaku di wilayah Seoul yang diduduki oleh separuh daripada 52 juta populasi rakyatnya, sehingga mendorong pihak berkuasa memperketatkan langkah penjarakan sosial pada bulan lalu.

Bagaimanapun, Perdana Menteri, Chung Sye-kyun dalam satu mesyuarat kerajaan berkata, pelonggaran sekatan dikuatkuasakan mulai esok selama dua minggu berikutan penurunan kes COVID-19.

“Kita masih belum menang tetapi kesan daripada langkah memperketatkan kuarantin telah mula menampakkan hasil secara beransur-ansur,” katanya. – AFP

Orang ramai memakai penutup mulut dan hidung menyeberangi jalan di Seoul pada 11 September. – AFP