Korea S mahu elak insiden ‘hujan gula-gula’

SEOUL, 14 Jun – Matlamat bagi skuad Piala Dunia Korea Selatan di Rusia adalah mengelakkan daripada dihujani dengan gula-gula sekali lagi apabila mereka kembali ke tanah air nanti.

Selepas mempamerkan tiga persembahan buruk semasa Piala Dunia Brazil empat tahun lalu, para penyokong yang marah telah menunggu mereka di Lapangan Terbang Incheon dengan membalingkan gula-gula ke arah mereka.

Jika meraih mata penting dalam kumpulan yang terdiri daripada Rusia, Algeria dan Belgium adalah sukar, maka cabaran bagi Piala Dunia kini lebih hebat apabila diundi bersama juara Piala Dunia, Jerman, Mexico dan Sweden dalam Kumpulan F.

Laluan skuad itu ke Rusia juga membuktikan perkembangan kurang memberangsangkan.

Dalam pusingan ketiga kelayakan Asia, Korea Selatan hanya berjaya mengutip dua mata daripada lima perlawanan di tempat lawan, menyebabkan peluang bagi penampilan kesembilan Piala Dunia berturut-turut kabur.

Jurulatih Uli Stielike telah dipecat dan Shin Tae-yong mengambil alih skuad kebangsaan untuk menyelamatkan pasukan. Meskipun mara ke Piala Dunia Rusia, persiapan terakhir dalam aksi persahabatan menyaksikan mereka tewas 3-1 kepada Bosnia-Herzegovina di Jeonju baru-baru ini, menimbulkan keresahan besar buat penyokong Korea Selatan.

Negara itu sudah terbiasa melepasi kelayakan Piala Dunia sejak kegagalan 1982 dan terdapat keinginan untuk menyaksikan penampilan di peringkat kalah mati.

Hanya dua kali negara itu melepasi peringkat kumpulan, pada tahun 2002 apabila mereka mara ke separuh akhir di laman sendiri dan pada tahun 2010 apabila mereka mara ke pusingan 16 pasukan terakhir.

Semangat di tanah air agak berkurang bagi pasukan ini, sebahagian besarnya berpunca daripada beberapa keputusan hambar.

Gambar fail pada 24 Mac 2018 menunjukkan Son Heung-min beraksi ketika menentang Ireland Utara. – AP

Jurulatih

Shin Tae-yong mengambil alih tugas pada Julai 2017 dan melakukan secukupnya untuk membawa Korea Selatan layak. Shin suka mempunyai pengalaman dalam kejohanan-kejohanan besar seperti mengendalikan pasukan bawah-23 di Olimpik 2016 dan Piala Dunia bawah-20 pada tahun 2017.

Di kedua acara itu, Korea Selatan mara melepasi peringkat kumpulan sebelum disingkirkan dalam perlawanan pertama pusingan kedua.

Penjaga gol

Korea Selatan masih kekurangan pen-jaga gol kelas dunia. Penjaga gol Vissel Kobe, Kim Seung-gyu adalah penjaga gol utama tetapi mungkin menerima saingan daripada Jo Hyeon-woo dan Kim Jin-hyeon.

Barisan pertahanan

Shin dilihat tidak meminati tiga per-tahanan dan kerap menggunakan for-masi empat pemain pertahanan.

Korea Selatan secara tradisinya mempunyai posisi bek pertahanan yang kuat dengan Lee Yong di bahagian kanan, sementara Kim Min-woo bakal berada di bek kiri, di mana kedua-duanya mampu melaksanakan tugas menyerang dan bertahan.

Jang Hyun-soo kemungkinan besar mengesahkan posisinya di pertahanan tengah, namun gandingannya masih belum begitu jelas.

Barisan tengah

Ki Sung-yeung merupakan kapten pasukan dan pusat serangan. Pemain tengah lain mungkin diberikan kepada Park Joo-ho, yang beraksi dengan baik di posisi itu dalam beberapa perlawanan kebelakangan ini.

Seorang lagi pemain yang perlu diberikan perhatian adalah pemain akademi belia Barcelona, Lee Seung-woo.

Barisan penyerang

Cabaran pasukan adalah untuk memanfaatkan kelincahan Son Heung-min.

Dalam beberapa perlawanan antarabangsa, penyerang Tottenham itu kadang-kala dilihat beraksi di sayap kiri, penyerang kedua dan penyerang tunggal.

Dan bagi kempen Piala Dunia ini, Son dijangka menjadi sebahagian daripada dua penyerang dan pemain berebut untuk bergandingan dengannya.

Kumpulan F

Korea Selatan akan memulakan kempen Piala Dunia mereka menentang Sweden pada 18 Jun, diikuti dengan Mexico pada 23 Jun dan berakhir pada 27 Jun menentang Jerman. – AP