Wednesday, February 19, 2025
25.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Korea S mahu sidang disambung

    SEOUL, 24 Mei – Korea Selatan kini mempertimbangkan untuk menghubungi Korea Utara bagi meneruskan perbincangan peringkat tertinggi antara Korea, yang telah dibatalkan disebabkan latihan perang Korea Selatan dan Amerika Syarikat (AS), menurut agensi berita Yonhap hari ini memetik dari Rumah Biru presiden Korea Selatan.

    Seorang pegawai dari Rumah Biru presiden memberitahu wartawan setempat bahawa meskipun pihak Korea Selatan belum membuat sebarang tawaran untuk tarikh baharu bagi dialog antara Korea, ia boleh menghubungi pihak Korea Utara sekali lagi bagi perbincangan itu.

    Seoul dan Pyongyang telah bersetuju untuk mengadakan perbincangan peringkat tertinggi minggu lepas, namun Korea Utara telah membatalkannya di saat-saat akhir, dengan alasan ia mengecam latihan ketenteraan Korea Selatan-AS, Max Thunder.

    Latihan udara itu melibatkan kira-kira 100 buah pesawat, termasuk lapan jet Raptor F-22 AS. jet pejuang yang mampu mengelak daripada radar musuh untuk membuat serangan mengejut pada sasaran.

    Korea Selatan mendakwa latihan tahunan bersama itu adalah sesuatu yang biasa bagi mengukuhkan pertahanannya, sementara Korea Utara melihatnya sebagai provokasi.

    Semasa pertemuan di Washington dengan Presiden AS Donald Trump, Presiden Korea Selatan Moon Jae-in berkata dia menjangkakan perbincangan antara Korea akan disambung semula selepas berakhirnya Max Thunder esok.

    Berhubungan dengan talian telefon dialog langsung antara Moon dan pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un, Rumah Biru presiden berkata masih belum ada yang diputuskan mengenai bila mereka akan mengadakan perbualan telefon lagi.

    Talian antara Moon dan Kim telah dipasang beberapa hari sebelum persidangan 27 April antara dua pemimpin di kampung sempadan Panmunjom. – Xinhua

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda