PETALING JAYA, 21 Sept – Juara dua kali, Korea Selatan tekad mahu menebus kekecewaan dengan menamatkan saingan dalam kelompok empat terbaik pada Kejuaraan Bawah 16 Tahun (B-16) Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2018 di sini.
Ketua jurulatihnya, Kim Jung Soo berkata pasukannya sudah melupakan kepahitan lepas setelah gagal melayakkan diri pada Piala Dunia Bawah 17 Tahun FIFA 2017 di India, berikutan menduduki tempat ketiga pada kempen pusingan awal Kejuaraan B-16 AFC 2016.
Beliau berkata anak buahnya cukup bersedia menghadapi saingan dalam Kumpulan D pada edisi kejohanan itu kali ini, menyaksikan skuad muda ‘Pahlawan Taegeuk’ itu diundi bersama-sama Australia, Afghanistan dan juara bertahan Iraq.
“Kami gagal melayakkan diri pada Piala Dunia B-17 FIFA 2017 dan kami mahu menebus kekecewaan itu dengan layak pada Piala Dunia B-17 FIFA 2019 di Peru dengan mencatat keputusan positif di Malaysia.
“Kami membawa skuad paling mantap pada kejohanan kali ini dengan melakukan 30 peratus pertukaran pemain berbanding edisi lepas kerana setiap kejohanan sudah pastinya sengit,” kata Kim pada sidang media pra kejohanan di sini hari ini.
Kim juga mengakui kemampuan pasukan Australia apabila kedua-dua pasukan bertemu pada aksi pembukaan Kumpulan D di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, namun percaya anak buahnya mampu menggalas tanggungjawab mereka selepas menjalani persiapan rapi bagi menghadapi kejohanan dwitahunan itu.
Dalam pada itu Ketua jurulatih B-16 Australia, Trevor Brian Morgan yakin skuad muda Socceroos itu mampu memperbaiki pencapaian mereka pada edisi 2018, selepas terpaksa pulang awal berikutan tiga kekalahan berturut-turut dalam saingan peringkat kumpulan pada edisi 2006. – Bernama