SAINT PETERSBURG, 26 Jun – Pemain tengah Korea Selatan, Ju Se-jong percaya peluang pasukannya untuk kekal di Piala Dunia meningkat daripada kosong hingga satu peratus selepas kemenangan dramatik Jerman ke atas Sweden.
Jaringan lewat Toni Kroos bermakna Korea Selatan masih boleh mara tetapi jika mereka berjaya menewaskan juara dunia itu esok dan Sweden tewas kepada Mexico.
Korea Selatan belum memperoleh mata di Rusia dan apabila kembali daripada Saint Petersburg selepas tewas di tangan Mexico, Se-jong mengakui bahawa dia merasakan kempen Piala Dunia Korea Selatan sudah berakhir.
“Saya menyaksikan jaringan (antara Jerman dan Sweden) apabila saya memasuki pesawat dan saya rasa peluang kami adalah kosong peratus,” menurut Ju di tempat latihan pasukan di Lomonosov kelmarin.
“Tetapi saya keluar daripada pesawat dan peluang kami meningkat satu peratus. Itulah kehidupan dan sukan. Kami cuba untuk mengambil peluang dan cuba sebaik mungkin.”
Bangkit ketika menentang Sweden mungkin menjadi titik permulaan buat Jerman yang mungkin mengakhiri peringkat kumpulan di kedudukan teratas jika mereka mencatat kemenangan dan Mexico tewas.
Tetapi aksi mereka kurang meyakinkan dan Korea Selatan percaya terdapat kelemahan yang mesti digunakan.
“Jerman beraksi dengan agresif dalam perlawanan pembukaan tetapi saya rasa kami boleh mendapat keputusan yang baik,” menurut Ju.
“Mereka juga menunjukkan kegoyahan dari segi pertahanan dan kami memiliki Son (Heung-min) atau (Lee) Seung-woo untuk melakukan serangan balas.” – AFP