Korea S perketat kawalan eksport ke atas Jepun

SEOUL, 12 OGOS – Korea Selatan hari ini meletakkan Jepun dalam kategori eksport baharunya ketika Presiden Moon Jae-in menggelar langkah terkini Tokyo ‘sangat serius’, memperhebatkan perang perdagangan antara dua negara berjiran dan sekutu Amerika Syarikat itu.

Langkah itu muncul selepas Seoul mengumumkan awal bulan ini ia akan menyingkirkan Tokyo dari senarai rakan perdagangan dipercayai, sebagai membalas keputusan sama dari Jepun.

Ia disusuli dengan pengenaan sekatan ketat Tokyo ke atas eksport penting kepada syarikat besar teknologi seperti Samsung berikutan siri perintah mahkamah Korea Selatan yang mengarahkan firma-firma Jepun untuk membayar buruh paksa semasa Perang Dunia Kedua.

Pertikaian itu telah membangkitkan kebimbangan berhubung potensi implikasi ke atas kerjasama keselamatan mereka ekoran ujian peluru berpandu Korea Utara dan kemungkinan impak ke atas rantaian bekalan global.

Semasa mesyuarat bersama pembantu kanannya hari ini, Moon membayangkan penjajahan Jepun ke atas semenanjung Korea pada separuh pertama abad ke-20 bagi menonjolkan graviti situasi itu. – AFP