Wednesday, December 4, 2024
23.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Korea S saman Meta AS$15.6 juta kumpul data pengguna tidak sah

    SEOUL, 5 NOV – Korea Selatan telah mengenakan denda lebih daripada AS$15 juta terhadap Meta, syarikat induk Facebook, kerana mengumpul maklumat sensitif pengguna secara tidak sah daripada hampir satu juta orang tanpa persetujuan dan berkongsi data tersebut dengan pengiklan, kata badan pemerhati negara itu hari ini.

    Syarikat itu, juga memiliki Instagram, telah melanggar undang-undang yang melarang penggunaan maklumat mengenai pendapat politik, kepercayaan agama dan kehidupan seksual seseorang melainkan individu memberikan persetujuan secara eksplisit, tambah Suruhanjaya Perlindungan Maklumat Peribadi Seoul.

    Suruhanjaya itu menambah bahawa gergasi teknologi itu telah mengumpul maklumat sensitif daripada kira-kira 980,000 pengguna domestik di Korea Selatan melalui profil Facebook mereka.

    Ia termasuk butiran mengenai kepercayaan agama mereka dan sama ada mereka terlibat dalam hubungan sejenis.

    Pemantau data itu menyatakan ia telah mengesahkan bahawa maklumat tersebut telah diberikan kepada pengiklan oleh Meta, dengan kira-kira 4,000 pengiklan yang menggunakannya.

    Meta ‘menganalisis data tingkah laku pengguna, termasuk halaman yang disukai dan iklan yang diklik di Facebook,’ untuk mencipta dan melaksanakan pengiklanan yang disasarkan berkaitan dengan ‘tema sensitif’ seperti isu transgender, homoseksualiti dan pembelot dari Korea Utara, kata pegawai.

    Suruhanjaya itu telah memutuskan hari ini untuk mendenda Meta sebanyak 21.6 billion won (AS$15.6 juta).

    Ia juga menambah bahawa ia ‘telah mengarahkan syarikat itu untuk membina asas undang-undang bagi pemprosesan maklumat sensitif, melaksanakan langkah-langkah keselamatan dan bertindak dengan teliti terhadap permintaan pengguna untuk mengakses data peribadi mereka.’

    Keputusan itu adalah ‘penting di mana ia memastikan bahawa pengendali asing yang menyediakan perkhidmatan global mesti mematuhi kewajipan yang ditetapkan dalam Akta Perlindungan (Korea Selatan) berhubung pemprosesan maklumat sensitif.’ – AFP

    Gambar AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda