Korea S siasat selebriti Korea U yang pulang ke negara asal

SEOUL, 19 Julai – Korea Selatan sedang menyiasat kes seorang pembelot warga Korea Utara yang menjadi orang pelarian terkenal di Seoul, tetapi baru-baru ini muncul di televisyen Pyongyang untuk mendakwa bahawa dia telah pulang dari ‘neraka’ kapitalis Korea Selatan.

Lim Ji-Hyun, pembelot wanita berusia dalam 20-an, tiba di Seoul pada tahun 2014 dan tidak lama selepas itu menjadi terkenal selepas muncul dalam rancangan-rancangan TV Korea Selatan yang memaparkan orang yang lari dari Korea Utara.

Namun Ahad lalu, Lim tiba-tiba muncul dalam satu video di rangkaian propaganda Korea Utara, yang menyifatkan bagaimana ‘fantasinya’ tentang kekayaan Korea Selatan telah musnah.

Dalam video itu, yang dihantar ke laman sesawang Korea Utara, Uriminzokkiri, Lim berkata dia telah ‘pulang ke tanah air’ bulan lalu dan kini tinggal bersama keluarganya di bandar barat, Anju.

Tidak jelas sama ada Lim telah pulang secara sukarela, dengan media Korea Selatan membuat spekulasi bahawa dia mungkin diculik di sempadan China dengan Korea Utara ketika cuba bersatu semula dengan keluarganya.

Sumber-sumber polis yang menyiasat rumah Lim dan akaun kewangan di Seoul memberitahu akhbar harian Korea Selatan, JoongAng Ilbo, terdapat sedikit tanda dia cuba mengakhiri kehidupannya di negara itu dan berpindah ke tempat lain.

“Pihak berkuasa berkaitan telah menyiasat pembelot Korea Utara, Lim Ji-Hyum,” kata Lee Yoo-Jin, penolong jurucakap wanita kementerian penyatuan Korea Selatan yang mengendali hal ehwal Korea Utara. Agensi pengintip Seoul enggan memberi ulasan.

Dalam video itu Lim mengenalkan dirinya sendiri sebagai Chon Hae-Song yang menurutnya adalah nama sebenarnya di Korea Utara. – AFP