Korea S tandatangani pakatan global kurangkan pelepasan metana

GLASGOW, 3 NOV – Presiden Moon Jae In kelmarin menandatangani pakatan global bersama pemimpin dunia yang lain untuk mengurangkan pelepasan metana sebanyak 30 peratus menjelang 2030.

Sebagai penandatangan Ikrar Metana Global, Korea Selatan akan meyakinkan lebih banyak negara untuk menyertai pakatan itu dan berkongsi pengalamannya mengurangkan pelepasan gas tersebut dengan negara membangun yang lain, lapor Agensi Berita Yonhap.

Metana, penyumbang utama kepada pencemaran udara dan gas rumah hijau, menjadi antara keutamaan perbincangan pada sidang kemuncak iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, COP26, di Glasgow, Scotland.

Mengurangkan pelepasan metana boleh memberi kesan lebih cepat dalam memerangi pemanasan global kerana ia kekal di atmosfera untuk tempoh lebih singkat berbanding karbon dioksida, kata saintis.

Pada awal sidang kemuncak iklim PBB hari itu, Moon secara rasmi mengisytiharkan komitmen Korea Selatan untuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau sebanyak 40 peratus daripada paras 2018 menjelang 2030.

Moon juga berkata Korea Selatan akan cuba mengurangkan pelepasan karbon di seluruh Semenanjung Korea dengan menggalakkan kempen penanaman pokok di Korea Utara.

Sasaran pengurangan Korea Selatan menunjukkan peningkatan ketara berbanding sasaran sebelum ini sebanyak 26.3 peratus. “Ia objektif agak berani kerana menaikkan kira-kira 14 peratus daripada sasaran sebelum ini.

“Mengurangkan gas rumah hijau secara mendadak dalam masa singkat adalah tugas sangat mencabar. “Ia bukan satu tugas mudah, tetapi Korea Selatan memutuskan sekarang adalah masanya untuk bertindak,” kata Moon.

Sidang kemuncak iklim itu turut menghimpunkan lebih 100 ketua negara, termasuk Presiden Amerika Syarikat Joe Biden dan Perdana Menteri Britain Boris Johnson. – Bernama