SEOUL, 26 SEPT – Korea Selatan mengadakan perarakan ketenteraan pertamanya dalam tempoh 10 tahun hari ini, mempamerkan senjata canggihnya di tengah-tengah hubungan yang merosot dengan Korea Utara yang memiliki senjata nuklear.
Pyongyang kerap mengadakan perarakan tentera besar-besaran tetapi acara seumpama itu di Seoul secara tradisinya diatur setiap lima tahun sekali bagi menandakan Hari Angkatan Tentera Korea Selatan.
Perarakan terakhir adalah pada 2013. Lima tahun kemudian, presiden ketika itu, Moon Jae-in memilih untuk mengadakan upacara perayaan dan bukannya acara ketenteraan, sejajar dengan pendekatan pendamaiannya ke Korea Utara.
Kira-kira 4,000 tentera berarak melalui pusat Seoul pada petang yang dibasahi hujan, disambut dengan sorakan oleh orang ramai yang membawa payung dan mengibarkan bendera Korea Selatan.
Mereka diiringi 170 unit peralatan ketenteraan, termasuk dron udara dan laut, kereta kebal serta peluru berpandu.
Bilangan tentera dan peralatan yang mengambil bahagian telah disemak semula oleh pegawai daripada yang dirancang pada asalnya.
Persembahan penerbangan oleh pesawat pejuang Korea Selatan, termasuk pesawat tempur senyap F-35 buatan Amerika Syarikat (AS), juga dibatalkan kerana cuaca buruk.
Presiden Korea Selatan, Yoon Suk Yeol menyaksikan perarakan itu dari platform, sambil bertepuk tangan kepada tentera ketika mereka berarak di hadapannya.
‘Bagi menunjukkan asas kukuh’ pakatan Seoul dengan Washington, kira-kira 300 anggota tentera AS turut menyertai perarakan itu. – AFP