Korea S tumpu lima industri makanan

SEOUL, 4 DIS – Korea Selatan berkata hari ini ia akan menggandakan saiz industri makanan utama menjelang 2030 untuk menjadikannya sebagai enjin pertumbuhan baharu dengan melonggarkan peraturan dan menyusun semula dasar yang berkaitan, lapor agensi berita Yonhap.

Di bawah pelan itu, Korea Selatan merancang untuk memfokus kepada lima industri makanan utama iaitu produk yang dihasilkan mengikut pesanan, berfungsi, sedia dimakan, mesra alam dan berorientasikan eksport, menurut Kementerian Pertanian, Makanan dan Hal Ehwal Luar Bandar.

Saiz kelima-lima industri, yang dianggarkan bernilai 12.4 trilion won (AS$10 bilion) pada 2018, akan meningkat sekali ganda kepada 24.8 trilion won menjelang 2030 sambil mewujudkan lebih 60,000 peluang pekerjaan sepanjang tempoh itu, kata kementerian. – Bernama