Korea Selatan adakan p’raya 15 April ini

SEOUL, 6 APRIL – Korea Selatan akan mengadakan pilihan raya parlimen di 14,330 pusat pengundian di seluruh negara, lapor agensi berita Yonhap.

Bagi menggalakkan penduduk keluar mengundi, 99.1 peratus pusat mengundi akan didirikan di tingkat pertama bangunan atau lokasi yang mempunyai tangga elektrik, menurut Suruhanjaya Pilihan Raya Kebangsaan (NEC) pada Isnin.

Korea Selatan akan mengadakan pilihan raya umum ketika negara itu bertungkus lumus membendung wabak COVID-19.

Bagi mengutamakan keselamatan pengundi, NEC sebelum ini menyatakan, pengundi akan diperiksa suhu badan pada pintu masuk dan perlu patuh kepada penjarakkan sosial sekurang-kurangnya satu meter ketika menunggu giliran mengundi. Petak undi serta cap kertas undi akan dinyah kuman.

NEC juga menasihati orang ramai supaya memakai topeng muka ketika keluar mengundi.
Ia turut merancang untuk menyediakan pondok mengundi sementara bagi membolehkan mereka yang mempunyai gejala COVID 19, mengundi.

NEC berkata pihaknya sudah menghantar risalah dan maklumat berkaitan parti politik serta calon ke rumah-rumah. – Bernama