Korea Selatan, AS sahkan pendirian tegas

SEOUL, 25 JUN – Menteri Pertahanan Jeong Kyeong Doo bercakap melalui telefon dengan pemangku Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat (AS) yang baharu Mark Esper hari ini mengesahkan komitmen mereka terhadap pakatan kukuh antara kedua-dua negara bagi membantu menggerakkan usaha pembasmian senjata nuklear, lapor agensi berita Yonhap memetik kenyataan kementerian pertahanan.

Panggilan telefon dibuat pada hari pertama Esper memegang jawatan sebagai ketua pertahanan AS kelmarin (waktu Washington).

Esper memberitahu Jeong bahawa beliau memutuskan untuk membuat panggilan itu kerana Korea Selatan adalah antara sekutu paling rapat Amerika, menurut kementerian itu.

“Kedua-dua pihak mengesahkan bahawa mereka akan terus menyokong usaha diplomatik kedua-dua negara ke arah pembasmian senjata nuklear di Semenanjung Korea berdasarkan pendirian pertahanan bersama yang tegas,” kata kementerian itu.

Esper, yang berkhidmat sebagai setiausaha tentera darat, mengambil alih jawatan itu selepas pendahulunya, Patrick Shanahan, berundur susulan masalah keluarga. – Bernama