Korea Selatan bantu Vietnam AS$300,000

SEOUL, 22 OKT – Korea Selatan merancang memberi bantuan kemanusiaan bernilai AS$300,000 kepada Vietnam bagi membantu negara itu menangani kerosakan akibat banjir besar, lapor agensi berita Yonhap memetik kementerian luar hari ini.

Banjir akibat hujan lebat selama beberapa minggu di tengah Vietnam menyebabkan sekurang-kurangnya 110 orang maut dan sekitar 90,000 yang lain hilang tempat tinggal, dengan lebih 130,000 rumah ditenggelami air.

“Kami berharap bantuan kecemasan ini akan digunakan untuk meringankan beban mangsa banjir dan menyumbang kepada memulihkan mata pencarian mereka secepat mungkin,” kata kementerian itu dalam kenyataan media. – Bernama