Korea Selatan bersiap sedia berdepan gelombang kedua

SEOUL, 18 OGOS – Jumlah kes baharu COVID-19 di Korea Selatan meningkat dengan ketara hari ini apabila jangkitan membabitkan kluster gereja di Seoul tidak menunjukkan tanda-tanda pengurangan, mendorong kerajaan mempertimbangkan langkah pencegahan lebih ketat di bandar raya itu.

Negara itu menambah 246 lagi kes COVID-19, termasuk 235 jangkitan tempatan, meningkatkan jumlah kes menjadi 15,761, lapor agensi berita Yonhap menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Korea (KCDC). Kes berada pada angka tiga digit untuk hari kelima berturut-turut, berikutan 166 lagi jangkitan pada Sabtu dan 103 Jumaat.

Pada Ahad, Korea Selatan melaporkan 279 jangkitan baharu,  pertama kali sejak awal Mac, angka itu melepasi 200 dan sebanyak 197 kelmarin. Korea Selatan menyaksikan pertambahan hampir 1,000 kes dalam tempoh lima hari kebelakangan ini. Negara itu sebelum ini belum pernah melaksanakan sekatan pergerakan yang ketat, berusaha untuk mengekang penularan virus dan pada masa sama mengekalkan kebanyakan aktiviti harian serta perniagaan.

Pihak berkuasa kesihatan memutuskan untuk meningkatkan tahap penjarakan sosial di Seoul dan kawasan berdekatan kepada Tahap Dua selama dua minggu bermula Ahad. – Bernama