Korea Selatan buat ujian besar-besaran

SEOUL,19 OKT – Korea Selatan hari ini memulakan ujian besar-besaran beribu-ribu pekerja hospital dan rumah-rumah penjagaan bagi mencegah penularan COVID-19 di kemudahan-kemudahan penting.

Lima belas daripada 78 kes terbaharu dilaporkan Agensi Kawalan dan Pencegahan Penyakit Korea adalah dari bandar pelabuhan selatan Busan, di mana lebih 70 jangkitan dikaitkan dengan sebuah hospital penjagaan warga emas.

Penyakit COVID-19 itu boleh menjadi lebih serius dalam kalangan orang tua dan mereka yang mempunyai keadaan kesihatan seperti tekanan darah tinggi.

Kakitangan kesihatan bertungkus lumus untuk menjejaki jangkitan di kawasan metropolitan Seoul, kediaman kira-kira separuh daripada 51 juta penduduk negara itu, ketika virus merebak di pelbagai tempat, termasuk hospital, gereja, sekolah dan tempat kerja.

Bermula hari ini, mereka akan menguji 130,000 pekerja hospital, pusat penjagaan dan pusat warga emas di kawasan lebih besar di ibu negara.

Pegawai juga akan menguji 30,000 pesakit yang mengunjungi kemudahan dan menggunakan kemudahan-kemudahan terbabit.

Korea Selatan setakat ini mengesahkan 25,275 kes jangkitan virus, termasuk 44 kematian akibatnya.

Dalam pada itu, India melaporkan 579 kematian dalam masa 24 jam lalu, terendah dalam tiga bulan, menambah angka kematian kepada 114,610 orang. Menurut kementerian kesihatannya, negara itu merekodkan 55,722 jangkitan hari ini, meningkatkan jumlah keseluruhan kepada lebih 7.5 juta. – AP

Orang ramai memakai penutup mulut dan hidung dalam usaha mengekang koronavirus semasa berdoa di sebuah kuil Chogyesa di Seoul, Korea Selatan, 19 Oktober. Negara itu memulakan ujian besar-besaran ke atas kakitangan dan pekerja hospital serta rumah-rumah penjagaan bagi menghindari penularan di tempat-tempat itu. – AP