Korea Selatan catat lonjakan angka harian kes COVID-19

SEOUL, KOREA SELATAN, 16 OGOS – Korea Selatan melaporkan 279 kes koronavirus baharu dalam lonjakan harian tertinggi sejak awal Mac, ketika kebimbangan semakin meningkat mengenai penularan wabak berkenaan di wilayah ibu kota secara lebih meluas.

Angka-angka yang dikeluarkan oleh Pusat Pengendalian dan Pencegahan Penyakit Korea (KCDC) hari ini menjadikan kes keseluruhan meningkat kepada 15,318, termasuk 305 kematian.

Jumlah kes baharu adalah yang tertinggi sejak 367 kes pada 8 Mac, ketika negara itu meningkatkan kapasiti perubatan kesihatan awam di seluruh negara untuk mengawal penularan wabak tersebut daripada terus menular.

KCDC berkata 253 kes baharu berasal dari wilayah metropolitan Seoul, tempat tinggal kepada 26 juta orang, di mana pihak berkuasa kesihatan telah berusaha untuk mengekang penularan wabak terutama sekali di kawasan gereja, rumah penjagaan, sekolah, restoran dan jurujual dari pintu ke pintu.

Jangkitan juga dilaporkan di bandar-bandar besar lain seperti Busan dan Daegu, yang merupakan pusat krisis sebelumnya pada akhir Februari dan Mac ketika ratusan kes baharu dilaporkan setiap hari.

Semasa mesyuarat berkaitan koronavirus, Presiden Moon Jae-in menyeru kepada semua warganya untuk bersama mengekang penularan di wilayah ibu kota.

Dia juga mengarahkan pegawai untuk mengkaji semula rancangan untuk berkongsi kapasiti hospital antara Seoul dan bandar-bandar berdekatan untuk memastikan kemasukan pesakit sentiasa teratur dan sesebuah hospital itu tidak akan dibebani dengan kemasukan pesakit yang ramai secara mendadak. – AP

Seorang warga tempatan menggunakan penutup mulut dan hidung membaca langkah pencegahan virus yang dipaparkan semasa mengunjungi salah satu tempat tarikan di Korea Selatan, kelmarin. Korea Selatan melaporkan 279 kes koronavirus baharu dalam lonjakan harian tertinggi sejak awal Mac. – AP