Korea Selatan denda Google AS$177 juta

SEOUL, 14 SEPT – Pihak berkuasa Korea Selatan mendenda Google AS$177 juta hari ini kerana didakwa menyalahgunakan penguasaan sistem operasi mudah alih dan pasaran aplikasi.

Tindakan itu adalah salah satu langkah kawal selia yang dilaksanakan terhadap syarikat gergasi teknologi global itu.

Penalti itu dikenakan beberapa minggu selepas Korea Selatan meluluskan undang-undang mengharamkan pengendali aplikasi utama seperti Google dan Apple yang memaksa pembangun perisian menggunakan sistem pembayaran mereka.

Ia sekali gus menyekat monopoli Play Store dan App Store daripada memperoleh untung secara tidak sah.

Google dan Apple mendominasi pasaran aplikasi di Korea Selatan, yang juga negara ekonomi ke-12 terbesar dunia serta dikenali kerana kehebatan teknologinya.

Kelihatan logo Google dipamerkan di permaidani di dewan masuk bangunan Google Perancis di Paris. Korea Selatan berkata ia merancang mendenda Google AS$177 juta kerana didakwa menyekat pengeluar telefon pintar daripada menggunakan sistem operasi mereka. – AP

Suruhanjaya Perdagangan Adil Korea (KFTC) menyiasat Google sejak 2016 lagi kerana didakwa menghalang pembuat telefon pintar tempatan seperti Samsung Electronics, dalam penyesuaian Android OS.

Google didakwa menyekat persaingan pasaran melalui ‘perjanjian anti-fragmentasi’ yang menghalang pembuat telefon pintar memasang versi Android diubah suai dalam peranti mereka.

“Justeru, pembuat telefon pintar tidak mampu melancarkan produk yang inovatif dengan perkhidmatan baharu.

“Akibatnya, Google dapat memperkukuhkan lagi dominasi pasarannya di pasaran telefon mudah alih OS,” katanya.

Ia mendenda Google sebanyak 207.4 bilion won dan mengarahkan syarikat gergasi itu melaksanakan langkah pembetulan. – AFP