Korea Selatan, Indonesia adakan rundingan akhir projek jet pejuang

SEOUL, 5 NOV – Korea Selatan dan Indonesia akan mengadakan pusingan akhir rundingan mengenai tunggakan bayaran projek pembangunan bersama jet pejuang, lapor agensi berita Yonhap memetik sumber hari ini.

Menurut sumber itu, Pegawai dari Korea Aerospace Industries Ltd (KAI), pembuat pesawat tunggal Korea Selatan, akan bertemu perunding dari Kementerian Pertahanan Indonesia, ketika Seoul berusaha untuk menamatkan kebimbangan yang berpanjangan mengenai komitmen Indonesia terhadap projek dikenali KF-X, bernilai 8.8 trilion won (AS$7.4 bilion). 

Ketua Pentadbiran Program Pemerolehan Pertahanan (DAPA) Kang Eun-ho, juga dijangka melawat Indonesia dari Selasa hingga Khamis untuk menyertai pasukan rundingan Korea itu – menunjukkan keazaman Seoul untuk menyelesaikan isu berkenaan.

Indonesia telah bersetuju untuk menanggung 20 peratus daripada kos pembangunan jet pejuang baharu itu. Tetapi kemudiannya berhenti membuat pembayaran, dengan jumlah pembayaran tertunggak kini berjumlah 704.1 bilion won (AS$593 juta).

Semasa audit parlimen bulan lepas, ketua DAPA Kang melahirkan keyakinan bahawa rundingan dengan Indonesia akan dimuktamadkan menjelang November.

Kebimbangan mengenai kemungkinan penarikan diri Indonesia daripada projek itu mula timbul apabila negara itu membawa pulang jurutekniknya yang terlibat dalam program pembangunan jet pejuang di Korea Selatan pada Mac tahun lepas, sambil menyatakan ia disebabkan penularan pandemik COVID-19.

Kebimbangan mengenainya reda apabila Menteri Pertahanan Indonesia, Prabowo Subianto bersetuju untuk menyambung semula rundingan dengan Korea Selatan berhubung pembayaran tertunggak semasa lawatan ke Seoul pada April, yang bertepatan dengan majlis pelancaran prototaip jet pejuang peribumi pertama negara itu bernama KF-21 Boramae.

Pada Ogos, sekumpulan juruteknik Indonesia kembali ke Korea, sekali gus menambah keyakinan bahawa program pembangunan jet pejuang bersama itu akan diteruskan. – Bernama