SEOUL, Korea Selatan, 7 Mac – Tentera Korea Selatan berkata ia sedang mengawasi ketat premis nuklear dan peluru berpandu Korea Utara selepas agensi pengintip negara memberitahu penggubal undang-undang bahawa aktiviti baharu itu dikesan di sebuah pusat penyelidikan di mana Utara diandaikan menghasil peluru berpandu jarak jauh yang menyasarkan Amerika Syarikat (AS).
Jurucakap Kementerian Pertahanan Seoul Choi Hyun-soo berkata hari ini tentera AS dan Korea Selatan sedang mengekal penyelarasan risikan yang ketat berhubung perkembangan di pusat penyelidikan peluru berpandu Utara di Pyongyang dan juga sebuah tapak roket jarak jauh yang berasingan. Beliau tidak mengulas lanjut mengenai perkembangan tersebut.
Namun seorang penggubal undang-undang yang menghadiri taklimat risikan pintu tertutup memberitahu The Associated Press bahawa pengarah Perkhidmatan Risikan Nasional, Suh Hoon berkata agensinya menemui pergerakan kenderaan yang semakin meningkat di pusat Pyongyang. Suh dalam taklimat pada Selasa berkata adalah jelas kenderaan sedang membawa bekalan tetapi mengelak jawapan khusus apabila penggubal undang-undang bertanya beliau apa kegunaan bahan berkenaan, kata penggubal undang-undang. Penggubal undang-undang itu meminta namanya tidak disiarkan disebabkan maklumat berkenaan adalah sensitif.
Suh juga memberitahu penggubal undang-undang bahawa Utara sedang memulih kemudahan di tapak pelancaran roket di Tongchang-ri yang diroboh sebahagiannya pada tahun lalu sebagai sebahagian daripada langkah pelucutan senjata, satu penilaian yang disokong oleh laporan persendirian AS berdasarkan gambar satelit.
Sementara NIS percaya Utara belum menghasilkan plutonium untuk senjata nuklear dalam beberapa bulan, tanda-tanda pengunaan telah dilihat di kilang penghasilan uranium di kompleks nuklear utama Utara di Yongbyon, kata penggubal undang-undang. Agensi Tenaga Nuklear Antarabangsa memberikan anggaran yang sama dalam satu laporan terbaharu.
Pendedahan menyusuli rundingan pada minggu lalu di antara pemimpin Korea Utara Kim Jong Un dan Presiden Donald Trump yang menemui kegagalan berhubung apa yang dikatakan oleh Amerika sebagai tuntutan berlebihan Korea Utara untuk pembatalan sekatan sebagai tukaran kepada tawaran terhad untuk menutup sebahagian daripada tapak Yongbyon.
Masih tidak jelas bagaimana hasil dapatan mungkin menjejas diplomasi. AS dan Korea Utara saling menuduh tentang punca kegagalan sidang kemuncak di Vietnam, tetapi kedua-dua pihak membiarkan pintu terbuka untuk rundingan masa akan datang. – AP


































