Korea Selatan, Jepun adakan rundingan

SEJONG, 8 NOV – Korea Selatan hari ini berkata ia telah bersetuju mengadakan rundingan pusingan kedua dengan Jepun pada akhir bula ini dalam usaha terbaharu untuk menyelesaikan pertikaian perdagangan yang sedang berlaku berhubung sekatan eksport Tokyo di Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO).

Chung Hae Kwan, Ketua Pengarah Hal Ehwal Pelbagai Hala dan Perundangan Kementerian Perdagangan, Industri dan Tenaga, akan mengadakan perbincangan dengan rakan sejawatnya dari Jepun Junichiro Kuroda pada 19 November di Geneva, lapor agensi berita Yonhap memetik kenyataan kementerian itu di sini.

“Kami akan berusaha sedaya-upaya untuk menyelesaikan sekatan eksport Jepun dengan pantas,” menurut kenyataan itu. Rundingan itu adalah sebahagian daripada proses penyelesaian pertikaian di bawah peraturan WTO. Bulan lepas, kedua-dua pihak gagal mencapai kata sepakat dalam rundingan pertama mereka di Geneva berkaitan aduan Seoul kepada badan perdagangan global itu berhubung sekatan eksport Tokyo. – Bernama