Korea Selatan kembali bergelut kekang COVID-19

SEOUL, 29 MEI – Korea Selatan pada hari ini mencatatkan lebih 58 kes baharu COVID-19 dalam tempoh dua hari berturut-turut, semuanya dilaporkan di bandar raya Seoul, lapor agensi berita Yonhap.

Daripada jumlah itu ia termasuk 55 jangkitan tempatan, meningkatkan jumlah kes kepada 11,402, menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Korea (KCDC).

Sebahagian besar jangkitan baharu itu berkaitan dengan kemudahan pengedaran e-dagang Coupang di Bucheon, barat Seoul.

Semua jangkitan baharu itu memberi tekanan hebat kepada kemampuan Korea Selatan untuk membendung penularan virus.

Sekurang-kurangnya 96 kes dikesan di pusat logistik itu sejak pesakit pertama disahkan minggu lalu, menurut KCDC.

Coupang and Market Kurly, platform penghantaran bahan makanan dalam talian, turut melaporkan jangkitan virus di pusat logistik di Goyang di utara dan timur Seoul.

Bimbang dengan lonjakan kes baharu, pihak berkuasa kesihatan melaksanakan kempen penjarakan sosial lebih ketat di Seoul dan sekitarnya yang menempatkan separuh populasi negara itu seramai lebih 50 juta – selama dua minggu sehingga 14 Jun. – Bernama