Korea Selatan lancar semula aduan WTO

SEOUL, KOREA SELATAN, 2 JUN – Mencetuskan semula satu perbalahan di antara sekutu utama AS, Korea Selatan hari ini berkata ia akan membuka semula satu aduan yang difailkan dengan Pertubuhan Perdagangan Sedunia (WTO) berhubung kawalan ketat eksport teknologi yang dikenakan ke atas syarikatnya, menyalahkan Tokyo kerana kekurangan komitmen dalam menyelesaikan rungutan bersama.

Korea Selatan telah menarik balik tindakan WTO pada November apabila ia memutuskan untuk mengekal perjanjian perkongsian risikan tentera dengan Jepun yang sebelumnya dijangka dibatalkan berhubung konflik berpunca daripada sejarah peperangan dan perdagangan, selepas tekanan selama beberapa bulan oleh pentadbiran Trump.

Jepun sebagai tukaran bersetuju untuk meneruskan rundingan untuk menyelesaikan perbalahan perniagaan dua hala, yang dicetuskan oleh tindakannya pada Julai untuk memperkukuh kawalan eksport ke atas syarikat kimia utama Korea Selatan yang digunakan untuk mengeluarkan cip komputer dan paparan.

Namun Na Seung-sik, seorang pegawai dari kementerian perdagangan Korea Selatan, berkata tidak adanya kemajuan sejak itu disebabkan apa yang digambarnya sebagai kekurangan komitmen Jepun untuk menyelesai perbalahan itu. Beliau berkata Korea Selatan akan meminta panel WTO supaya menyelesai isu tersebut dan proses berkenaan akan mengambil masa lebih setahun.

Apabila mengenakan kawalan lebih ketat ke atas tiga syarikat kimia, Jepun memetik isu keselamatan yang dinyatakan berhubung kawalan eksport Korea Selatan ke atas bahan sensitif yang mungkin digunakan untuk tujuan tentera. Namun Na berkata tidak adanya masalah keselamatan berkaitan dengan bahan kimia atau produk yang membabitkan mereka dalam tempoh 11 bulan lalu.

“Kerajaan kami dalam tempoh enam bulan lalu terbabit dalam dialog dan memberikan penjelasan menyeluruh supaya pihak Jepun boleh memahami bahawa kawalan eksport Korea Selatan berfungsi dengan normal dan efektif,” kata Na dalam satu taklimat.

“Kami percaya proses rundingan dua hala sudah berakhir, dan langkah seterusnya adalah meminta WTO menubuhkan panel penyelesaian perbalahan.”

Menteri Luar Jepun Toshimitsu Motegi meluahkan rasa kesal berhubung tindakan Korea Selatan dan berkata tidak adanya perubahan dalam kedudukan Tokyo di mana Seoul harus mempertingkat kawalan eksportnya. – AP

Na Seung-sik, timbalan menteri Pejabat Perdagangan dan Pelaburan di Kementerian Perdagangan, Industri dan Tenaga, bercakap semasa satu taklimat di kompleks kerajaan di Sejong, Korea Selatan, kelmarin. – AP