Korea Selatan larang pelancong asing mohon lesen memandu

SEOUL, 9 DIS – Pelancong asing jangka pendek akan dilarang daripada memohon lesen memandu di Korea Selatan apabila semakan undang-undang tempatan yang berkaitan dilakukan tidak lama lagi, lapor agensi berita Yonhap memetik kenyataan polis pada Isnin.

Semakan semula Akta Lalu Lintas Jalan itu, yang membenarkan hanya orang asing berdaftar memperoleh lesen memandu di negara ini,  sedang menunggu kelulusan sesi pleno Dewan Perhimpunan tanpa menyaksikan parti pembangkang membantah rang undang-undang tersebut, menurut Agensi Polis Kebangsaan Korea (NPAK).

Orang asing berdaftar merujuk kepada mereka yang berada di negara ini lebih 90 hari. Jika rang undang-undang itu diluluskan, pelancong jangka pendek akan dilarang daripada memohon lesen memandu tempatan.

Semakan semula undang-undang yang tertangguh itu dilakukan selepas ramai pelancong asing, kebanyakannya rakyat China, dengan mudah memperoleh lesen memandu Korea selepas mengikuti kursus intensif dan telah menyebabkan nahas lalu lintas di negara ketiga. – Bernama