Friday, April 19, 2024
23.7 C
Brunei

    -

    Korea Selatan mansuh peraturan kuarantin 8 Jun

    SEOUL, 3 JUN – Kerajaan Korea Selatan akan menarik balik peraturan kuarantin tujuh hari bagi penumpang luar negara yang tidak mengambil vaksin COVID, mulai Rabu depan, kata Perdana Menteri Han Duck Soo hari ini.

    Namun, mereka masih perlu menjalani ujian PCR dalam tempoh tiga hari selepas tiba di Korea Selatan, kata Han, lapor Agensi Berita Yonhap.

    “Selain itu, sekatan penerbangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon akan dimansuh sepenuhnya mulai 8 Jun dan kerajaan akan memastikan penerbangan dikendalikan selari dengan permintaan,” kata Han.

    Menurut Kementerian Pengangkutan, langkah itu akan meningkatkan jumlah penerbangan ketibaan kembali kepada tahap sebelum pandemik.

    Langkah itu diambil susulan permintaan terhadap penerbangan antarabangsa meningkat sejak kerajaan menghapuskan peraturan penjarakan sosial. 

    Menurut Han, harga tiket penerbangan melambung disebabkan sekatan ke atas beberapa penerbangan antarabangsa dan perintah berkurung untuk ketibaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon.

    Pada masa ini, tiada penerbangan ketibaan dibenarkan di lapangan terbang dari 8 malam hingga 5 pagi.

    Kerajaan juga memutuskan untuk menarik balik had jumlah mingguan penerbangan antarabangsa mulai Rabu depan bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat.

    Untuk permulaan, kementerian merancang menambah 100 hingga 300 lagi penerbangan setiap minggu secara berperingkat mulai Mei dan 50 peratus daripada paras sebelum pandemik menjelang akhir tahun. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gempa bumi 6.3 magnitud di Jepun cederakan 8 orang

    TOKYO, 18 APRIL – Lapan orang dilaporkan cedera hari ini selepas gempa bumi berukuran 6.3 magnitud melanda barat daya Jepun, tetapi tiada kerosakan besar...