SEOUL, KOREA SELATAN, 25 OGOS – Korea Selatan telah menandatangani perjanjian bernilai AS$2.25 bilion dengan sebuah syarikat tenaga nuklear milik Rusia untuk menyediakan komponen bagi loji kuasa nuklear pertama Mesir.
Kerajaan Korea Selatan hari ini berkata, kontrak antara Korea Hydro and Nuclear Power dengan ASE yang dikendalikan oleh kerajaan memerlukan Korea Selatan menyediakan peralatan berkaitan turbin dan kerja pembinaan untuk loji yang dibina di Dabaa, kira-kira 130 kilometer barat laut Kaherah di pantai Mediterranean.
ASE ialah anak syarikat Rosatom, sebuah gabungan nuklear Rusia milik negara. Seorang pegawai kanan berkata rundingan semakin terbantut disebabkan ‘keadaan yang tidak dijangka,’ sebahagian besar daripadanya akibat perang di Ukraine dan sekatan Amerika Syarikat ke atas Moscow.
Choi Sang-mok, setiausaha kanan bagi hal ewhal ekonomi, berkata Korea Selatan telah memberikan penjelasan kepada Amerika Syarikat (AS) lebih awal mengenai rancangannya untuk menyertai Projek Dabaa dan sekutunya akan mengekalkan rundingan rapat ketika kerja dimulakan.
Choi tidak menyatakan secara khusus bagaimana krisis di Ukraine dan sekatan ke atas Moscow akan menyebabkan kesukaran bagi rundingan antara Korea Hydro dan loji nuklear serta ASE, yang mempunyai kontrak bersama Mesir untuk membina empat reaktor 1,200 megawatt.
Dia menekankan tiada kemungkinan teknologi yang dihantar oleh Korea Selatan untuk projek itu akan bertentangan dengan sekatan antarabangsa ke atas Rusia.- AP