Korea selatan minta bantuan interpol buru kumpulan siber

SEOUL, KOREA SELATAN, 15 OKT – Korea Selatan telah meminta bantuan Interpol untuk menangkap dua orang asing yang dipercayai memainkan peranan utama dalam serangan siber dan pemerasan besar-besaran yang menyasarkan syarikat Korea Selatan dan Amerika Syarikat (AS).

Agensi polis Korea mengatakan mereka telah menerima waran tangkap dalam negeri dan meminta Interpol untuk mengeluarkan ‘notis merah’ untuk kedua-dua suspek dalam usaha untuk membawa mereka ke Korea selatan.

Pihak berkuasa Korea Selatan tidak secara terbuka mendedahkan nama atau maklumat lanjut mengenai kedua-dua suspek – kecuali salah seorang daripadanya merupakan warganegara Ukraine.

Suspek yang merupakan warganegara Ukraine adalah antara enam orang yang ditahan oleh polis Ukraine pada bulan Jun, ketika pihak berkuasa Korea Selatan dan AS bergabung dalam serbuan di rumah-rumah suspek yang bersubahat dengan sindiket ransomware, Clop di Kyiv dan di tempat lain.

Operasi polis tersebut menyasarkan rakan sekutu kumpulan ransomware berbahasa Rusia yang disalahkan atas kerugian setengah bilion dolar dalam kerosakan akibat serangan siber yang mencuri data dan hanya dapat dihentikan dengan kunci perisian dengan membayar penjenayah tersebut.

Korea selatan mengatakan mereka telah meminta bantuan Interpol untuk menangkap dua orang asing yang dipercayai memainkan peranan utama dalam serangan siber. – AP

Satu kenyataan polis Korea Selatan mengatakan bahawa suspek yang ditahan di Ukraine pada bulan Jun didakwa bersubahat dengan sebuah organisasi penggodam dan melakukan pertukaran haram mata wang maya yang mereka peroleh dan menukarnya dengan wang tunai.

Awal bulan ini, polis Korea Selatan memutuskan untuk mengekstradisi tiga orang ditahan sebelumnya di Ukraine dan seorang lagi yang tidak didedahkan kewarganegaraannya, dituduh melan-ggar undang-undang Korea Selatan mengenai rangkaian komunikasi dan perlindungan maklumat, pemerasan dan menyembunyikan hasil jenayah.

Korea Selatan mahu mengekstradisi dua orang suspek dari kumpulan tersebut yang memainkan peranan utama dalam serangan siber, kata Choi Jongsang, ketua bahagian penyiasatan jenayah siber di agensi polis Korea.

Undang-undang Ukraine tidak membenarkan suspek jenayah tempatan untuk diekstradisi ke negara asing dan status undang-undang, tambahan lagi lokasi salah seorang suspek tidak diketahui, kata Choi.

Dia berkata tiga syarikat dan sebuah universiti di Korea selatan telah dilanda serangan ransomware pada tahun 2019 dan mereka diarahkan untuk membayar wang tebusan Bitcoin setara dengan AS$3.8 juta secara keseluruhan.

Polis Korea selatan mengatakan mereka akan meneruskan penyiasatan hingga ke tahap kumpulan penggodam yang bertanggungjawab terhadap serangan siber.

Polis tidak mengenal pasti dari mana organisasi itu berada berserta dengan asal penggodamnya. – AP