Korea Selatan naikkan tahap amaran perjalan ke Beirut

SEOUL, 11 OGOS – Korea Selatan pada Selasa menaikkan tahap amaran perjalanan ke Beirut, Lubnan berikutan insiden letupan yang mengorbankan lebih 160 orang dan mencederakan ribuan yang lain, kata kementerian luar.

Amaran tahap “merah” dikeluarkan, menggesa pelancong yang merancang perjalanan ke negara itu untuk membatalkan atau menangguhkannya, lapor agensi berita Yonhap.

Kawasan lain di Lubnan juga berada di bawah nasihat perjalanan khas yang mengesyorkan supaya tidak melakukan perjalanan, sama seperti negara asing lain, disebabkan COVID-19.

Kementerian berkenaan berkata rusuhan semakin memuncak selepas kejadian 4 Ogos itu, memusnahkan bandar raya Beirut selain melumpuhkan sistem perubatan dan mencetuskan tunjuk perasaan antikerajaan.

Beberapa menteri Luban juga berundur di tengah-tengah demonstrasi yang menyalahkan kerajaan kerana salah pengurusan dan rasuah.

Pada Isnin, Perdana Menteri Hassan Diab berkata barisan kabinetnya meletak jawatan sebagai tanggungjawab atas kejadian itu. – Bernama