Korea Selatan perketat lagi sekatan virus

SEOUL, 23 OGOS – Korea Selatan melaporkan jumlah kes koronavirus harian tertinggi sejak awal Mac hari ini tatkala pihak berkuasa mengingatkan negara ‘hampir-hampir mengalami pandemik di seluruh negara’ dan mempertingkat peraturan penjarakan fizikal.

Majoriti daripada 397 jangkitan baharu adalah di kawasan Seoul, tempat tinggal kepada separuh daripada 51 juta penduduk, kata Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Korea.

Pihak berkuasa mengingatkan peraturan penjarakan fizikal yang lebih ketat, yang mungkin termasuk penutupan sekolah dan perniagaan, jika kes baharu terus meningkat pada kadar pesat selepas Korea Selatan berjaya mengawal wabak sebelumnya.

“Situasi adalah amat serius kerana kami hampir-hampir mengalami pandemik negara,” kata Jung Eon-kyeong, ketua Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Korea, kepada wartawan.

“Tolong tinggal di rumah jika boleh,” kata Jung, menambah jumlah jangkitan masih belum mencecah kemuncak.

Sekatan virus diperketatkan di Seoul pada minggu lalu dan dilanjutkan ke kawasan lain di negara hari ini.

Langkah tersebut termasuk sekatan ke atas perhimpunan besar seperti perkhidmatan agama dan penutupan kelab malam, bar karaoke, kafe siber dan pantai. Penutup mulut dan hidung diwajibkan di kawasan awam ibu negara Seoul bermula pada tengah malam. – AFP

Dua penduduk tempatan dilihat memakai penutup mulut dan hidung berjalan di jalan yang lengang di Seoul, Korea Selatan, kelmarin. – AP