SEOUL, 21 DIS – Korea Selatan mengharamkan perhimpunan lebih daripada empat orang di ibu negara dan kawasan sekitarnya hari ini apabila negara mencatat jumlah kematian koronavirus harian tertinggi sejak wabak bermula.
Sementara Korea Selatan kurang terjejas berbanding negara lain, pegawai berkata peningkatan dalam jangkitan telah menyebabkan hospital di ibu negara berdepan kekurangan kronik katil rawatan rapi. Negara itu melaporkan 926 kes baharu hari ini dan jumlah kematian kini mencecah 698 selepas 24 orang meninggal dunia dalam tempoh 24 jam lalu – rekod tinggi sejak penularan pandemik.
Bermula Rabu, Seoul dan rantau sekitar, tempat tinggal kepada separuh daripada 52 juta penduduk, akan mengharamkan perhimpunan lima orang atau lebih selama dua minggu sehingga 3 Januari, kata pegawai.
Arahan itu termasuk semua jenis perhimpunan, termasuk parti akhir tahun, makan malam pejabat, parti hari jadi dan perkelahan. Hanya majlis perkahwinan dan pengebumian boleh mengikuti peraturan sekarang iaitu tidak lebih daripada 50 orang, kata Seo Jung-hyup, pemangku datuk bandar Seoul, menambah situasi sekarang memerlukan ‘pengorbanan dan kesabaran’ dari semua orang.
“Jika kami gagal mengatasi ledakan kes, apa yang diharungi oleh New York dan London – jalan lengang dan sekatan bandar – juga boleh berlaku di Seoul,” katanya.
Langkah baharu itu adalah yang paling ketat dikenakan di negara itu sejak bermulanya wabak, walaupun kerajaan pusat masih belum menambah tahap amaran kepada tertinggi di seluruh negara. – AFP































