SEJONG, 27 SEPT – Korea Selatan hari ini mengesahkan kes kesembilan demam khinzir Afrika di negara tersebut, yang mencetuskan kebimbangan berhubung penularan virus penyakit haiwan yang membawa maut itu berhampiran sempadan antara Korea, lapor agensi berita Yonhap memetik kenyataan kementerian pertanian.
Kes terbaru dilaporkan di Pulau Gangwha, yang merupakan sebahagian daripada bandar Incheon, 60 kilometer di barat Seoul, menurut Kementerian Pertanian, Makanan dan Hal Ehwal Luar Bandar.
Satu lagi kes yang disyaki di Yangju, utara Seoul, diuji negatif.
Kes pertama penyakit itu dilaporkan pada 17 September. Kesemua kes yang disahkan setakat ini berada di kawasan sempadan antara Korea.
Pada Khamis, kementerian itu melanjutkan larangan pergerakan ke atas semua ladang khinzir, rumah penyembelihan dan fasiliti berkaitan di seluruh negara selama dua hari lagi bagi mencegah penularan virus.
Penyakit itu tidak mempunyai penawar dan satu-satunya cara yang diketahui boleh mencegah penularan virus itu ialah dengan membunuh ternakan yang terjejas secara besar-besaran. – Bernama