Wednesday, November 6, 2024
22.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Korea Selatan sedia bertindak balas terhadap serangan Korea Utara

    SEOUL, 14 OKT – Tentera Korea Selatan berkata hari ini ia bersedia sepenuhnya untuk bertindak balas selepas Korea Utara mengarahkan tenteranya di sempadan bersiap sedia bagi melepaskan tembakan dalam pertikaian berhubung penerbangan dron ke Pyongyang.

    Korea Utara telah menuduh Seoul menerbangkan dron ke atas ibu negaranya untuk menggugurkan risalah propaganda yang dipenuhi dengan khabar angin dan sampah-sarap, serta memberi amaran kelmarin ia akan mengisytiharkan perang jika dron lain dikesan.

    Tentera Seoul pada mulanya menafikan tentang penerbangan dron itu, di mana ia hanya menumpukan isu terhadap kumpulan aktivis di Selatan yang telah lama menghantar propaganda dan mata wang Amerika Syarikat ke utara, biasanya melalui belon.

    Tetapi Utara menegaskan Seoul tetap dipersalahkan, dengan mengumumkan kelmarin ia telah memberitahu lapan briged artileri telah berada di medan perang untuk bersiap sedia sepenuhnya bagi melepaskan tembakan termasuk mengukuhkan kawalan pos pemerhatian udara di Pyongyang.

    “Tentera kami memantau keadaan dengan teliti dan bersiap sedia sepenuhnya,” jurucakap Ketua Turus Bersama Selatan (JCS), Lee Seong-joon, memberitahu taklimat berita.

    Pyongyang mendakwa dron propaganda telah memasuki ruang udara ibu negaranya tiga kali dalam beberapa hari kebelakangan ini, di mana Kim Yo Jong, adik kepada pemimpin, Kim Jong Un, memberi amaran tentang bencana ngeri yang akan dihadapi kecuali mereka berhenti. – AFP

    Gambar menunjukkan Kim Jong Un (tengah) menyelia latihan tembakan artileri di Korea Utara pada 7 Mac. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda