Korea Selatan setuju tubuh pusat pendidikan di Universiti Indonesia

SEOUL, 5 Mac – Sebuah pertubuhan bantuan luar negara Korea Selatan bersetuju bekerjasama dengan Universiti Indonesia (UI) untuk menubuhkan pusat pendidikan multimedia di sekolah, selain membangunkan kurikulum dan melatih pensyarah, lapor agensi berita Yonhap.

Agensi Kerjasama Antarabangsa Korea (KOICA) berkata, objektif kerjasama itu antara lain bagi memperluaskan program bantuan pembangunannya ke negara Asia Tenggara di bawah slogan tiga P iaitu (Peace, Peace dan Prosperity).

“KOICA dan UI sepakat bekerjasama dalam program pusat latihan teknologi maklumat, menghantar sukarelawan dan kumpulan penasihat,” kata Presiden KOICA, Lee Mi-kyung semasa bertemu dengan presiden UI, Muhammad Anis di Jakarta.

Beliau berharap usaha itu akan membuka jalan kepada lebih banyak perkongsian, sejajar dengan dasar pentadbiran Moon Jae-in, bertujuan meningkatkan hubungan dengan negara Asia Tenggara.

Sementara itu Muhammad merakamkan penghargaan kepada KOICA kerana memilih universitinya sebagai rakan kongsi.

Katanya, program berkenaan dijangka membantu Indonesia mengukuhkan daya saing tenaga kerja di peringkat global.

Lee turut bertemu dengan Naib Presiden Indonesia, Jusuf Kalla. – Bernama