Korea Selatan umum amaran virus tertinggi

SEOUL, 23 FEB – Korea Selatan menambah amarannya mengenai koronavirus kepada tahap tertinggi hari ini selepas melaporkan tiga lagi kematian dan 169 jangkitan baharu.

Negara itu melihat pertambahan mendadak dalam jumlah kes koronavirus sejak kelompok jangkitan muncul daripada satu sekta agama di selatan bandar Daegu.

Jumlah 602 kes yang dicatat di negara kini merupakan yang tertinggi di luar China, selain daripada kapal persiaran Diamond Princess di Jepun.

“Insiden COVID-19 menghadapi titik perubahan serius. Hari-hari mendatang akan menjadi sangat genting,” kata Presiden Moon Jae-in selepas mesyuarat kerajaan mengenai virus itu.

“Kerajaan akan menambah tahap amaran kepada tahap ‘serius’ tertinggi berdasarkan nasihat pakar dan memperkukuhkan lagi sistem respons kami,” kata Moon.

Beliau juga menggesa pegawai supaya mengambil ‘langkah luar biasa’ untuk membendung wabak tersebut.

Kerajaan mengarahkan semua sekolah dan tadika di seluruh negara supaya melanjutkan cuti musim bunga selama seminggu dalam usaha untuk menghalang virus tersebut daripada merebak.

Hari ini, Korea Selatan melaporkan 169 kes baharu dan tiga kematian, membawa jumlah di seluruh negara kepada lima. – AFP

Pekerja pasar yang memakai pakaian perlindungan menyembur disinfektan di sebuah pasar di tenggara bandar Daegu kelmarin. – AFP