Korea siap sedia hadapi Taufan Maysak

SEOUL, 2 SEPT – Operasi penerbangan telah dibatalkan di Korea Selatan dan amaran ribut telah dikeluarkan dari kedua-dua belah semenanjung Korea dengan taufan paling kuat diramalkan membadai, hari ini.

Lebih dari 300 penerbangan domestik telah dibatalkan ketika Taufan Maysak bergerak ke perairan selatan pulau peranginan Jeju dengan membawa kelajuan angin 162kmsj.

Perdana Menteri Korea Selatan, Chung Sye-kyun berkata ribut yang diramal itu mempunyai kekuatan yang sama dengan Taufan Maemi pada 2003, yang telah menyebabkan 131 orang terkorban dan kemusnahan dianggar lebih daripada 4 trilion won (AS$3 bilion). “Kami sangat bimbang,” tambahnya.

Maysak – namanya diambil bersempena pokok Kemboja – dijangka akan melanda hari ini di sebelah barat Busan di bahagian pesisir selatan, kemudian akan menuju ke timur semenanjung sebelum ke utara bahagian laut Jepun, yang dikenali sebagai Laut Timur di Korea.

Ia diramal akan melanda sekali lagi esok berhampiran dengan bandar industri Chongjin di Korea Utara.

‘Angin mungkin akan bertambah kuat hari ini sehingga esok, Pentadbiran Meteorologi Korea Selatan mengatakan, meramalkan hujan melebihi 400 milimeter.

Kejadian bencana alam cenderung memberikan kesan yang lebih besar di Korea Utara disebabkan oleh keadaan infrastruktur yang lama dan negara itu terdedah kepada bencana banjir selepas pokok-pokok ditebang di kawasan pergunungan dan bukit sejak sekian lama.

Media kerajaan Pyongyang berkata pihak berkuasa telah mengambil ‘langkah segera’ untuk mengurangkan kerosakan.

“Hujan lebat dan angin kencang dijangka akan melanda beberapa buah kawasan di DPRK,” kata agensi berita rasmi KCNA. Pegawai-pegawai telah melakukan ‘tinjauan secara terperinci mengenai kawasan-kawasan berbahaya’ dan memeriksa infrastruktur termasuk terowong dan jalan kereta api, tambahnya. – AFP

Pengunjung pantai menyaksikan ombak ketika Taufan Maysak mula menghampiri Korea pada 2 September. – AFP