Korea U, AS tangguh rundingan bersama

SEOUL, 8 Nov – Korea Utara meminta Amerika Syarikat (AS) agar menangguhkan rundingan peringkat tertinggi yang direncanakan di New York minggu ini, menurut diplomat tertinggi Seoul hari ini, sehari selepas Washington secara tiba-tiba mengumumkan penangguhan pertemuan itu.

Semalam, Jabatan Negara AS berkata pertemuan antara Setiausaha Negara, Mike Pompeo (gambar bawah) dan pegawai tertinggi Korea Utara, Kim Yong Chol, pada awalnya dijadualkan hari ini namun ditunda hingga ke “satu tarikh”.

Tiada sebarang penjelasan lanjut diberikan mengenainya, namun Pyongyang mendesak agar sekatan ke atas program senjatanya itu dikurangkan, tetapi Washington menegaskan sekatan itu harus dikekalkan sehingga program nuklearnya berakhir.

Sementara itu, menteri luar Korea Selatan, Kang Kyung-wha berkata Pyongyang yang telah meminta bagi penangguhan itu.

“AS memaklumkan kepada kami bahawa ia telah menerima mesej dari Korea Utara agar menangguhkan pertemuan itu,” beritahu Kang kepada ahli undangan, menurut agensi berita Yonhap.

Sementara itu, Korea Selatan melaporkan bahawa Kim – salah seorang anggota kanan pemimpin Korea Utara Kim Jong Un – dijadualkan mengikuti penerbangan pada waktu tengah hari dari Beijing menuju New York, semalam.

Namun, tempahannya itu berulang kali dibatalkan dan ditempah semula Selasa lalu, menurut laporan akhbar Chosun Ilbo, sehingga ia dibatalkan sepenuhnya.

Penangguhan tiba-tiba itu dibuat dua hari selepas Jabatan Negara AS mengumumkan bahawa Pompeo akan bertemu dengan pihak Korea Utara di New York bagi membincangkan perkembangan ke arah penamatan program nuklear dan rancangan bagi sidang kemuncak kedua antara Presiden Donald Trump dan pemimpin Kim Jong Un.

Trump dan Kim telah mengadakan sidang kemuncak bersejarah Jun lalu di Singapura – buat julung kalinya antara kedua-dua buah negara di mana mereka telah menandatangani perjanjian dengan isi kandungan perjanjian yang tidak jelas berhubung penamatan program nuklear. – AFP